Penganalisis unjur KDNK suku pertama tahun ini cecah 5.6 peratus

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2023 diunjurkan mencecah 5.6 peratus berbanding 5.0 peratus pada suku yang sama 2022, kata Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB).

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank itu menjelaskan pertumbuhan memberangsangkan suku pertama tahun ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh selain inflasi sederhana dalam menghadapi cabaran luaran.

Ketua Ahli Ekonomi BIMB, Firdaos Rosli berkata penggunaan swasta akan kekal sebagai tonggak pertumbuhan permintaan bagi suku ini, disokong oleh prestasi pasaran buruh yang stabil apabila kadar pengangguran lebih rendah iaitu 3.5 peratus pada Februari.

“Terimaan perbelanjaan pelancongan yang lebih tinggi dan cuti panjang akhir tahun akademik 2022 juga membantu. Kami yakin pertumbuhan penggunaan swasta bagi suku ini akan mencapai satu angka yang tinggi,” katanya, lapor Bernama.

Bank itu menambah, susulan ketibaan 4.5 juta pelancong pada suku keempat tahun lalu, ketibaan pelancong dan terimaan perbelanjaan boleh meningkat lebih tinggi pada suku pertama 2023 ditambah dengan pembukaan semula ekonomi China yang akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan.

Sektor perkhidmatan kewangan boleh mencatatkan pertumbuhan yang baik susulan pengekalan kadar faedah manakala perkhidmatan kerajaan serta sektor borong dan runcit mendahului dalam memacu prestasi suku ini, menurutnya.

BIMB berpandangan, angka dua digit yang direkodkan jualan kenderaan bagi suku pertama didorong oleh lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan dan pelancaran model baharu berkemungkinan boleh membantu ekonomi bermula baik untuk tahun ini.

Oleh yang demikian, BIMB mengekalkan unjuran KDNK Malaysia bagi 2023 pada 4.5 peratus buat masa ini, seiring dengan unjuran bank pembangunan pelbagai hala pada julat 4.5 peratus hingga 4.7 peratus.

“Permintaan luaran terhadap eksport Malaysia susut berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan timbul ekoran inflasi yang tidak berubah selain persekitaran kadar faedah tinggi di ekonomi maju.

“Bagaimanapun, Indeks Pengurus Pembelian terkini menunjukkan daya tahan aktiviti pembuatan negara dengan aliran meningkat (48.8 mata pada April berbanding 46.5 mata pada Januari),” menurutnya.

BIMB juga menjangka risiko positif ke atas unjuran pertumbuhan itu didorong perdagangan yang baik dan limpahan pelaburan daripada pembukaan semula ekonomi China serta kestabilan pasaran buruh tempatan yang mungkin mengimbangi cabaran pertumbuhan pada separuh kedua 2023.