PH Terengganu nafi calonnya berdepan protes dari BN

Pakatan Harapan Terengganu menafikan bahawa terdapat protes calon PH oleh jentera Barisan Nasional di negeri tersebut dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Pemuda PH Terengganu, Mohamad Zamir Ghazali menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas sama sekali kerana segala bentuk kerjasama antara PH dan BN di negeri itu berjalan dengan lancar.

Jelasnya, tiada tindakan protes seperti yang didakwa malah kesepaduan yang terjalin di antara mereka adalah untuk memastikan keputusan dapat dicapai dengan satu lawan satu bagi mengelak pertembungan antara kedua-dua parti.

“Cakap-cakap mengenai timbulnya jentera BN protes calon PH itu sebenarnya tidak wujud perkara seperti yang didakwa.

“Sebab pemurnian di antara pimpinan parti di peringkat negeri (Terengganu) termasuk di peringkat sayap telah diwujudkan dalam jawatankuasa khas PH dan BN bagi menyelesaikan isu PRN termasuk soal pembahagian kerusi,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya jentera Umno Terengganu dikatakan akan memprotes dan tidak mahu menerima calon PH.

Ini adalah ekoran daripada bantahan yang disuarakan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad terhadap keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menyokong permohonan pengampunan untuk mantan presiden Datuk Seri Najib Razak.

Najib menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes SRC International.

Menurutnya, soal pembahagian kerusi di negeri itu sedang berjalan dengan baik di antara pihak PH dan BN dan berkemungkinan akan dimuktamadkan selepas Konvensyen Kerajaan Perpaduan nanti.

Tambah Zamir, segala bentuk penyelarasan di antara PH dan BN Terengganu telah berjalan dengan baik memandangkan sebuah sekretariat yang terdiri daripada pimpinan tertinggi parti sudah terbentuk di negeri itu bagi memudahkan segala urusan berkaitan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang pertama bakal berlangsung pada 14 Mei nanti bagi memanfaatkan semangat perpaduan demi melancarkan pelaksanaan agenda rakyat.