Sedia hadapi musim kering hingga Ogos, elak pembakaran terbuka
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat cuaca panas dan kering yang dijangka melanda negara sehingga Ogos ini.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya sedang memantau rapat di kawasan yang terkesan akibat cuaca berkenaan terutamanya di negeri di bahagian utara Semenanjung membabitkan isu seperti masalah bekalan air, pembakaran di tanah terbuka dan kebakaran di tanah gambut.
Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaku badan pengawalseliaan kebangsaan untuk industri air dan pembentungan telah mengadakan perbincangan dengan operator air di seluruh negara bagi memastikan bekalan air cukup di setiap negeri.
“Jadi buat masa ini, SPAN sedang pantau untuk pastikan kita dapat uruskannya dengan sebaik mungkin, tetapi memang pelan itu sudah ada dan diketahui operator-operator air sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran MADANI Reusable Bag dan Kempen Tanpa Beg Plastik di 99 Speed Mart di Klang hari ini.
Terdahulu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata Monsun Barat Daya yang dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini akan menyebabkan taburan hujan lebih rendah di kebanyakan tempat pada tempoh itu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata dalam tempoh itu, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.
“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar, orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Helmi berkata semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil yang menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.
“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Helmi berkata hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.
Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
Orang ramai boleh mengakses maklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau menghubungi hotline MetMalaysia 1-300-22- 1638 bagi pertanyaan lanjut.
BACA JUGA: Putrajaya bersedia kemungkinan jerebu akibat cuaca panas