Selepas TPM ulang apa MB Kedah cakap, Sanusi pula anggap Fadillah salah faham

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof salah faham mengenai isu tapak perlombongan haram yang dikesan di negara ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkenaan menafikan kebanyakan tapak perlombongan haram yang dikesan di negara ini berada di negeri itu.

Sanusi satu-satunya Menteri Besar dari PN yang kerap mengeluarkan kenyataan kontroversi.

Menurutnya, Fadillah salah faham mengenai maklumat yang disampaikannya pada mesyuarat Majlis Mineral Negara pagi semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook malam tadi, Sanusi berkata, menjadi kewajipannya untuknya memperbetulkan salah maklumat yang ditularkan Fadillah selaku pengerusi mesyuarat ketika sidang akhbar beliau.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu memberitahu pihak yang terbabit dalam aktiviti lombong haram yang terkenal di Kedah sudah pun ditangkap dan didakwa.

“(Sebanyak) 60 lombong haram yang saya sebutkan itu adalah daripada sumber agensi tertentu yang sampai kepada saya…bukan hanya tertumpu di Kedah, tetapi di seluruh negara.

“Hal ini diakui benar oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim dalam mesyuarat tadi,” katanya.

Terdahulu, Fadillah dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Mineral Negara antara lain memaklumkan 60 tapak perlombongan haram dikesan di seluruh negara dengan kebanyakannya dilaporkan di Kedah.

Fadillah ketika menyatakan hal itu berkata, maklumat tersebut juga diakui sendiri oleh Sanusi pada mesyuarat terbabit.

Sementara itu, Sanusi mengesahkan lombong haram yang mendapat perhatian media sebelum ini sudah pun diambil tindakan.

“Lombong haram di Kedah yang ‘femes’ (terkenal) itu sudah dicekup dan didakwa. Maknanya yang masih beroperasi itu ada di tempat lain, bukan ‘berlambak’ di Kedah.

“Kalau ada betul lombong haram di Kedah, sekalian ‘pakar geologi dan pakar lombong PH-BN’ sudah raya sakan,” kata Sanusi lagi.