Ura-ura Anwar: The Untold Story akan dihentikan tayangannya

Ada ura-ura bahawa filem Anwar: The Untold Story arahan kartunis politik Zulkiflee Anwar Haque, yang lebih dikenali sebagai Zunar, akan dihentikan penayangannya pada 18 Mei menerusi arahan injunksi mahkamah kerana nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin disebut di dalam filem Anwar The Untold Story.

Perkara ini telah didedahkan penulis politik semasa Malaysia Mohamad Sayuti Omar menerusi laman Facebook beliau. Sayuti memperoleh maklumat ini dari Naib Canselor Universiti Selangor, Profesor Redzuan Othman.

Sayuti dan Redzuan merupakan antara individu yang telah menghadiri tayangan perdana filem tersebut semalam di Pavillion, Kuala Lumpur.

Dr Mahathir adalah orang yang membawa Anwar masuk ke dalam Umno sehingga Anwar menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, perbezaan pandangan di antara kedua-dua pemimpin tersebut telah menyebabkan kejatuhan Anwar.

Isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah kemudian menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan ADIL yang berubah kepada parti KeADILan pada tahun 1999. Gabungan parti tersebut dengan Parti Rakyat Malaysia menghasilkan PKR dalam tahun 2003.

Mengulas perkara ini, Zunar berkata: “Saya tak boleh komen mengenai benda yang belum berlaku.  Ini tekaan orang sahaja dan kita berpegang kepada realiti.”

 

BACA JUGA: Filem ‘Anwar: The Untold Story’ suntik semangat reformasi