Dr Muhammad Nur Manuty pengerusi baharu IKIM
Mantan senator Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuat kuasa 8 Mei 2023, menggantikan allahyarham Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan meninggal dunia pada 23 Februari lalu.
Pelantikan Nur Manuty diumumkan oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataan media, kelmarin.
“Sebagai seorang tokoh ilmuan yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pemikiran, falsafah, perbandingan agama dan pengurusan, pelantikan beliau sebagai Pengerusi IKIM akan mampu melonjakkan kecemerlangan IKIM sebagai sebuah institusi pemikir dan penyelidikan yang disegani di Malaysia dan dunia antarabangsa.
“Mewakili Ahli Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja IKIM, saya menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai pengerusi baharu IKIM,” katanya.
Nur Manuty, 74, mendapatkan pendidikan awal di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dari tahun 1970 hingga 1974.
Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah di University of Temple, Amerika Syarikat dari 1978 hingga 1987 dalam bidang pemikiran Islam dan perbandingan agama.
Di dalam dunia akademia, Nur Manuty pernah menjadi pensyarah Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau juga pernah bertugas sebagai pensyarah kanan dan profesor madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dari 1983 hingga 1999.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Dekan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Dekan di Pusat Pengajian Lanjutan dan Khidmat Masyarakat, UIAM selama lima tahun dari 1990.
Beliau juga adalah mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), bekas Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), mantan Ahli Lembaga Pengarah IKIM dan Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Di dalam politik kepartian Nur Manuty ialah pengerusi biro pemahaman pemantapan agama PKR. Beliau menjadi senator mewakili Selangor pada 2015. Beliau turut di dalam bertanding dua kali di dalam pilihan raya umum ke 11 di Larut dan ke 13 di Bagan Serai tetapi tewas.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar turut mengucapkan tahniah dan syabas di atas pelantikan itu.
“Semoga IKIM terus maju jaya sebagai institusi penyelidikan yang meneroka khazanah ilmu Islam untuk menangani isu dan cabaran semasa.
“Pada masa yang sama IKIM tampil sebagai jurubicara ummah yang memberikan kefahaman kesyumulan Islam kepada umat Islam dan masyarakat bukan Islam,” katanya menerusi hantara Facebook miliknya, hari ini.
Mohd Kamal menjadi Pengerusi IKIM sejak Februari 2022.
Â