DUN Terengganu bubar automatik bulan depan
Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan berakhir selewat-lewatnya akhir bulan depan secara automatik, kata seorang Exco kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata, bagaimanapun, tarikh sebenar pembubaran DUN akan diputuskan kepimpinan negeri.
“Penggal pemerintahan kerajaan negeri akan tamat bulan depan jika pembubaran tidak dilakukan DUN akan terbubar secara automatik akhir bulan depan.
“Setakat ini kita tidak dimaklumkan tarikh sebenar pembubaran DUN, tetapi usaha ke arah itu, termasuk penetapan tarikh pembubaran sedang dilakukan kepimpinan,” kata Timbalan Yang Dipertua Pas Besut itu dipetik BH.
Pada masa ini, Pas menerajui kerajaan negeri Terengganu dengan menguasai 22 daripada 32 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) manakala bakinya iaitu 10 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Pada Februari lalu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 30 Jun untuk memberi laluan kepada PRN.