Filem kisah Anwar buka akal fikir anak muda

Biarpun parut Reformasi 1998 masih berbekas buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya namun detik hitam buat politik tanah air itu dilihat masih samar bagi sebahagian generasi muda.

Mana tidaknya, kemudahan media sosial abad lalu itu jauh berbeza berbanding hari ini yang menyaksikan segala maklumat hanya di hujung jari.

Pastinya, bibit derita luka yang dikongsi buat mereka yang pernah mengalaminya, malap untuk difahami generasi sekarang.

Sosok Anwar Ibrahim bukan nama yang asing di negara ini, tetapi label dan fitnah jahat yang bergentayangan lebih dua dekad lamanya itu sukar ditangkis sehari dua.

Sebab itu penting filem Anwar: The Untold Story diterbitkan untuk merakam realiti sebenar tokoh reformasi itu dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Hasil buah fikir Viva Westi pengarah dari Indonesia itu nyata memberi kejutan buat penulis untuk mengenali sosok anak jati Cheruk Tok Kun berkenaan ketika di era Tun Dr Mahathir.

Watak utama yang dipegang oleh Farid Kamil dilihat mampu mengimbau kembali nostalgia pentadbiran mantan Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) berkenaan.

Ditambah pula, rupa paras aktor terkenal tersebut yang seiras dengan wajah ‘muda’ Anwar pada zaman itu boleh menambahkan nostalgia filem terbabit.

Walaupun aksi lakonan beliau ada sedikit longgar terutama gaya ucapan dan dialog dalam bahasa Inggeris yang dilihat ‘kurang Anwar’ tetapi perlu untuk dipuji atas keberanian beliau memegang watak Anwar yang ketika itu Ketua Pembangkang.

Berkemungkinan gaya karismatik yang ada pada sosok negarawan tersebut yang sukar dicari ganti itulah yang menjadi faktornya.

Apapun, Anwar Ibrahim yang merangkap Menteri Kewangan sendiri menzahirkan penghargaan atas usaha oleh pihak Bianglala Entertainment dalam menghasilkan filem mengenai dirinya.

Sementara itu, ada juga beberapa babak yang menyentuh hati penulis antara ketika Anwar diseksa dan terbaring dalam keadaan luka-luka serta berdarah.

Tambahan pula, kecekalan babak Wan Azizah yang terus-menerus memperjuangkan nasib suaminya daripada dizalimi pastinya membuakkan kolam mata penonton.

Tidak lupa juga pada babak akhir filem tersebut yang menonjolkan mata lebam Anwar setelah seminggu ditahan tanpa khabar berita.

Kesan tumbukan itu menjadi simbol kebangkitan rakyat dalam menuntut semangat reformasi.

Apapun pada pandangan penulis, naskhah itu sarat dengan pengajaran dan mesej serta berharap agar karya biopik itu dibuat sekuel bagi menceritakan semula sejarah Anwar sebelum bergelar ahli politik.

Anak muda wajar menonton Anwar: The Untold Story. Biar anak muda terbuka akal fikir dan mengerti bagaimana peritnya realiti dalam memerangi rasuah di negara ini.

Musuh pada masa kini bukan lagi penjajah mahupun kuasa asing tetapi perasuah yang terdiri dalam kalangan kita sendiri.