‘Hadi lalang politik, peluk cium dan tikam belakang’ – Isham Jalil

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menyifatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai lalang politik apabila kerap berubah pendirian terhadap kepimpinan Perdana Menteri sebelum ini.

Menurutnya, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan bercakap apa sahaja demi kepentingan politik.

“Saya ingat lagi masa Najib PM dia peluk cium Najib dan Umno. Selepas Umno tidak lagi berkuasa dia u-turn dan kata Umno sudah keruh.

“Tapi bila Muhyiddin dan PN kena dakwa kes rasuah dan skandal Jana Wibawa, dia diam dan tidak kata Muhyiddin keruh pula,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, Hadi juga pernah menggelar Mahathir dengan pelbagai gelaran serta menuntut bekas Perdana Menteri itu bertaubat berkenaan pembunuhan Memali.

“Selepas itu bila Mahathir jadi PM semula pada tahun 2018 dia pergi jumpa Mahathir minta wang ehsan.

“Selepas Mahathir beri wang ehsan, dia janji akan sokong Mahathir jika berlaku undi percaya di Parlimen.

“Tetapi bila dia jumpa Agong untuk menyatakan sokongan, dia tikam belakang Mahathir dan sokong Muhyiddin pula sebagai Perdana Menteri,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, katanya, Hadi bersama Mahathir menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semakin hampir.

Sehubungan itu, Isham berpendapat sikap Hadi yang tidak tetap pendirian itu bukannya muslihat atau strategi politik sebaliknya siri penipuan yang kerap dilakukan.

“Sekarang dia peluk dan bodek Mahathir semula sebab pilihan raya nak dekat dan dia mahu guna Mahathir untuk tarik sokongan Melayu Mahathir.

“Hai, Haji Hadi. Muslihat itu bukan semuanya baik, kerap kali penipuan adalah penipuan dan bukan muslihat. Dan lebai tidak baik menipu,” sinis Isham lagi.

Untuk rekod, selain Hadi, beberapa pemimpin Pas turut bertemu dengan Mahathir di kediaman Pengerusi Gerakan Tanah Air itu, 2 Mei lalu.

Mereka dilaporkan menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diterajui Mahathir.

Langkah Perikatan Nasional (PN) itu dilihat sebagai usaha memancing undi Melayu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Hadi antara lain dilapor berkata, Pas dan Mahathir mempunyai banyak titik persefahaman.

Justeru, kata Ahli Parlimen Marang itu, titik persefahaman itu wajib diambilkira untuk menyatupadukan orang Islam dan Melayu.

Â