Kedah tak semestinya kubu Pas
Pas bukan parti yang kuat di Kedah memandangkan negeri tersebut pernah menjadi kubu Barisan Nasional dan ini berbeza dengan keadaan di Kelantan di mana parti tersebut memerintah sejak 1990, kata pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Kedah tidak semestinya tempat PAS, dulu Kedah adalah kubu kuat BN. PAS pernah menang dan pernah juga kalah, jadi ia bukan negeri di mana PAS dominan seumpama di Kelantan,” beliau dipetik berkata oleh FMT.
Beliau turut memaklumkan bahawa BN akan mengemukakan nama calon selepas rundingan kerusi.
“Kita sedang menuju ke arah persediaan, Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan kemukakan nama calon,” katanya.
Negeri di utara semenanjung Malaysia ini sekarang di bawah pentadbiran Menteri Besar Sanusi Md Nor dari Pas. Pas merupakan anggota komponen Perikatan Nasional.
Walau bagaimanapun Sanusi tidak menjadi Menteri Besar menerusi pilihan raya.
Beliau mengambil alih jawatan nombor satu di negeri jelapang padi selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa meletakkan jawatan kerana hilang majoriti buat kali kedua.
Pilihan raya negeri di negeri jelapang padi ini dijangka berlangsung selepas bulan Jun.
Selain Kedah, lima negeri lain akan turut menyaksikan pilihan raya negeri.
Negeri – negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.