Konvensyen bakal jadi medan penyatuan kerajaan Madani – Puteri Umno
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia pada 14 Mei ini menjadi medan penyatuan parti-parti komponen bagi membentuk Malaysia yang cemerlang.
Ketua Penerangan Pergerakan Puteri Umno, Shamellya Norazizi berkata, konvensyen tersebut mampu untuk menunjukkan solidariti parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan dalam sebuah keluarga baharu.
“Dalam konvensyen Madani yang akan diadakan nanti sudah pastinya kita mahu bersolidariti bersama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk menunjukkan ini adalah keluarga baharu yang bersama kita dalam #MalaysiaMadani.
“Kita harap rakyat di luar sana menerima baik sambutan ini dan daripada situlah kita nak panjangkan sehingga ke akar umbi.
“Kalau boleh, biar berkekalan sehingga demi kesejahteraan rakyat,” katanya memetik laporan Umno Online.
Pada masa sama, Shamellya turut memaklumkan bahawa beberapa perancangan telah dibuat oleh Pergerakan Puteri Umno bagi menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Kami telah melakukan beberapa perancangan dan sudah pastinya ia memfokuskan kepada media sosial.
“Sebelum ini, kita dah ada buat beberapa bengkel ‘dry run’ untuk TikTok kerana kita melihatkan platform tersebut merupakan platform utama anak muda.
“Selaku sayap bongsu yang mewakili wanita muda di luar sana, kita nak atasi isu-isu semasa dan dalam masa yang sama kita nak berikan penerangan kepada orang di luar sana tentang apa sebenarnya berlaku sekarang ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kebanyakan persiapan yang telah dilakukan lebih memfokuskan kepada media sosial dan juga persiapan PRN.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang bertemakan ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ akan diadakan pada 14 Mei 2023 bagi para kepimpinan mengukuhkan tekad dan keazaman serta komited dalam meneruskan agenda yang ingin dilaksanakan.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Geng Perpaduan yang akan dilancarkan pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini sekali gus menjadi medium kerjasama untuk merangka persiapan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Menurutnya, ia bukan hanya membabitkan Pemuda Umno dan pemuda dalam komponen Barisan Nasional (BN), malah membabitkan Pakatan Harapan (PH), Warisan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).