Konvensyen Kerajaan Perpaduan medan keikhlasan parti komponen

Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung pada 14 Mei ini dilihat akan menjadi medan keikhlasan parti-parti komponen untuk terus berkhidmat demi rakyat, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata konvensyen itu juga akan menjadi medan penyatuan pimpinan politik di negara ini untuk meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.

“Ini merupakan platform penyatuan di antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk terus bekerjasama dari peringkat bawah hingga atas dengan penuh keikhlasan.

“Kerajaan Perpaduan hari ini dilihat ampuh apabila wujudnya kerjasama dengan penuh ikhlas tanpa ada rasa prejudis,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, konvensyen itu juga bertujuan untuk memenangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang secara bersama.

Beliau berkata, kesepaduan yang dijalin dari semasa ke semasa memperlihatkan satu semangat yang bertambah baik dan kukuh.

“Nampaknya sikap saling hormat-menghormati itu yang paling penting dalam sesebuah persahabatan selain keikhlasan.

“Ini adalah sangat penting supaya hubungan yang terbina dapat dijaga dengan rasa tanggungjawab untuk mengelakkan daripada serangan pihak musuh (pembangkang),” katanya.

Tambahnya lagi, antara perkara yang harus diberi tumpuan secara bersama adalah untuk mengatasi segala kelemahan dan ketidaksamaan yang wujud.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang akan berlangsung pada 14 Mei ini bakal menghimpunkan lebih 10,000 ahli parti dari 19 parti politik yang membentuk blok kerajaan.

Konvensyen tersebut akan bermula pada jam 10 pagi Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, membabitkan dua persidangan yang berjalan serentak iaitu Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri yang berakhir jam 12.30 tengah hari.

Ia disusuli dengan sidang bicara rakyat membabitkan tiga sesi, dengan setiap wakil parti akan membentangkan mengenai komitmen Kerajaan Perpaduan dalam isu ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat yang akan bermula jam 2 petang.

Kemuncaknya adalah amanat daripada Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berakhir dengan deklarasi konvensyen yang akan diputuskan nanti.

Â