Mahfuz dilantik Pengerusi LPP, Faiz di LKIM

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkuat kuasa 15 Mei ini (Isnin).

Selain Mahfuz, ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Selain dua pemimpin AMANAH, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengumumkan pelantikan tiga lagi pengerusi badan berkanun di bawah kementeriannya.

Turut dilantik ialah pemimpin DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Bekas ahli Parlimen Kuala Kedah daripada PKR, Dr Azman Ismail pula dilantik sebagai pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Sementara bekas timbalan Speaker DUN Perak, Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Sukacita dimaklumkan bahawa pelantikan pengerusi bagi lima Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan. Semua pelantikan ini berkuat kuasa 15 Mei 2023,” kata Mohamad dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, beliau yakin dengan pengetahuan, kredibiliti dan pengalaman dimiliki mereka dalam menerajui serta menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong memastikan pembaharuan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua yang dilantik,” tambahnya.

Baca juga: ‘Hadi lalang politik, peluk cium dan tikam belakang’ – Isham Jalil