Menteri Agama pimpin tujuh mualaf lafaz syahadah di Masjid Negara

Seramai tujuh saudara baharu selamat melafazkan kalimah dua syahadah dipimpin oleh Menteri Agama di Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata selepas solat Zuhur semalam, beliau diundang oleh Pengerusi PERKIM Datuk Keramat, Mohamad Suhami Abd Aziz untuk memimpin syahadah mualaf yang baru memeluk Islam itu.

“Hari yang indah, bergema dua kalimah syahadah, dilafaz oleh 7 orang muallaf insan bertuah, di Masjid Negara yang bersejarah.

“Alhamdulillah, telah dikurnia nikmat iman dan Islam. Seperti kain putih yang membalut badan. Bersih dari segala dosa dan kotoran. Bercampur hiba dan gembira, saat berpeluk erat dan bersalaman,” katanya dalam hantaran yang dikongsi di Facebook.

Mohd Na’im berkata beliau telah menyampai pesan supaya saudara baharu tersebut terus mempelajari ilmu-ilmu fardhu ain.

“Ilmu menjadi pasak amalan. Belajar lah secara bertahap-tahap dan perlahan-perlahan. Pasti Allah akan mempermudahkan segala urusan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau juga menasihatkan supaya mereka terus berbakti kepada ibu bapa dan ahli keluarga walau berbeza agama.

“Islam tidak pernah memutuskan silaturrahim. Biarlah kita menjadi contoh dan tauladan yang baik,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata JAWI dan MAIWP akan sentiasa memberikan bantuan dan bimbingan kepada saudara baharu melalui agihan zakat dan pelbagai program.

“Kelas pengajian agama secara percuma juga disediakan bagi tempoh pengajian 1 tahun 6 bulan di Kompleks Darul Hidayah, institusi di bawah JAWI. Agensi Islam akan terus memperkasa pengurusan saudara baharu.

“Tahniah saya ucapkan kepada PERKIM selaku penganjur. Terima kasih juga kepada JAWI dan Masjid Negara,” katanya.