‘Orang cakap rezeki tidak salah alamat’

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih belum memberi bayangan sama ada akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson berkata, setakat ini perkara tersebut masih belum diputuskan lagi.

“Saya tidak tahu lagi sama ada bertanding atau tidak. InsyaAllah, kalau ada rezeki adalah tetapi orang cakap rezeki tidak salah alamat,” katanya dengan nada berseloroh.

Aminuddin Harun

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Sidang media tersebut turut disiarkan menerusi penstriman langsung di Facebook rasmi Aminuddin.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri lain juga bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Ia berikutan masing-masing tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri Adat Perpatih itu, berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.