Perlu ada insentif lebih baik untuk tarik minat anak muda dalam pertanian
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dicadang untuk memperkenalkan insentif dan bimbingan yang lebih berstruktur untuk menarik minat anak-anak muda ke dalam sektor pertanian.
Ini kerana kata Biro Pertanian dan Keterjaminan Makanan AMANAH, Faiz Fadzil, berdasarkan data sedia ada, hanya 15 peratus ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berumur di bawah 40 tahun.
Justeru menurutnya, negara memerlukan penglibatan anak muda yang lebih baik, namun menyifatkan mereka tidak akan berkecimpung dalam bidang ini jika gaji yang diterima masih rendah dan tidak ada prospek kerjaya yang lebih baik.
“Oleh sebab itu, sektor pertanian memerlukan perubahan struktur atau “structural reform” berteraskan teknologi pintar yang dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataanya, Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir mengutarakan tiga cadangan utama untuk dicapai kementerian dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuklah isu penglibatan anak muda dalam sektor pertanian.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya pelaburan berintensiti tinggi dapat dibawa masuk ke dalam sektor pertanian kerana jelasnya, negara memerlukan ladang-ladang yang dikendalikan menerusi automasi dan robotik di seluruh negara.
Untuk itu kata Faiz, kerajaan harus menggalakkan penglibatan syarikat-syarikat AgriTech dan pelabur antarabangsa melalui pelbagai insentif dan memudahkan proses menjalankan perniagaan atau “ease of doing business”.
“Di samping itu, dengan konsep pertanian dalam bangunan dan “vertical farming”, kita boleh menghasilkan tanaman di tengah-tengah bandar besar seperti Kuala Lumpur untuk memenuhi permintaan tempatan,” ujarnya lagi.
Cadangan terakhir, Faiz mencadangkan agar konsep “Satu Zon Hijau, Satu Daerah” diperkenalkan dengan membangunkan tanah-tanah terbiar di seluruh negara dan ditukar kepada tanah pertanian untuk tanaman yang sesuai.
“Dengan kerjasama pihak swasta, konsep ini bukan sahaja boleh memudahkan penduduk tempatan mendapatkan bekalan makanan terutama sayur-sayuran pada harga berpatutan, malah dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
“Pada masa yang sama, diharapkan pihak kerajaan dapat meluluskan lesen tanah dengan tempoh yang lebih panjang kepada usahawan agro di seluruh negara. Ini akan memberikan keyakinan kepada usahawan agro untuk melabur dan mengembangkan operasi mereka,” katanya.
Baca juga: Pengarah syarikat didakwa terima rasuah RM15 juta untuk Hamzah Zainudin