FamilyMart Malaysia hentikan jualan minuman beralkohol sejak Mac

Rangkaian kedai serbaneka FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan minuman beralkohol di semua 360 premisnya bagi memberi keyakinan kepada pelanggan Islam untuk membeli tanpa sebarang keraguan.

Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai berkata keputusan itu telah dilaksanakan sejak Mac lalu bagi memastikan pelanggan dapat membeli dan menjamu selera tanpa rasa bimbang (tidak halal) di cawangan mereka.

“Minuman beralkohol hanya menjadi penyumbang kecil kepada perniagaan kami setakat ini. Jadi kami menjangkakan kesan yang sangat minimum dan kami bergantung kepada segmen makanan dan minuman kami untuk menampung jualan,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas pengumuman kedai konsep baharu FamilyMart Malaysia FamiCafé di Menara U, Shah Alam semalam.

Cawangan itu menerima pensijilan halal pertama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menjadikannya kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia menerima pengiktirafan sedemikian.

Lik Khai berkata berkata konsep yang disahkan halal itu menyajikan minuman dan makanan sedia untuk dimakan yang disediakan sendiri termasuk ‘oden’ (tomyam Jepun), makanan ringan panas seperti ‘chiki katsu rangup’ dan sosej (corndog), serta ‘sofuto ( ais krim)’.

Beliau berkata setakat ini terdapat sebanyak 16 FamiCafe di Malaysia dengan sasaran untuk membuka 50 lagi cawangan menjelang akhir tahun ini dengan sasaran status halal untuk 300 FamiCafe menjelang tahun 2025.

Dalam usaha meningkatkan keyakinan pelanggan katanya FamilyMart akan menjalani audit halal secara berperingkat mengikut garis panduan Jakim dan proses itu telah bermula di dua kedai lain di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, beliau berkata pusat penyediaan makanan FamilyMart Malaysia yang dikendalikan oleh QL Kitchen telah diiktiraf halal oleh Jakim sejak 2019.

Tambahnya sehingga 30 April, sebanyak 172 produk makanan jenama FamilyMart telah didaftarkan sebagai halal di portal halal rasmi Jakim.

Sehubungan itu, Lik Khai berkata, FamilyMart kini sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi memenuhi permintaan pelanggan di pantai timur Semenanjung.

Jelasnya, syarikat itu menyasarkan untuk membuka 20 cawangan menjelang akhir tahun ini di wilayah pantai timur dengan beberapa cawangan sudah dibuka di Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, untuk meningkatkan keselesaan pelanggan, FamiCafe FamilyMart di Menara U kini mempunyai kiosk layan diri yang membolehkan pelanggan memesan produk menggunakan e-dompet atau perkhidmatan kad kredit kegemaran mereka.

Kiosk layan diri akan diperkenalkan di FamiCafe lain secara beransur-ansur, katanya.