Jualan Rahmah bukan gimik semata-mata – Salahuddin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan, jualan RAHMAH yang diperkenalkan di negara ini bukan hanya gimik semata-mata.

Sebaliknya beliau berkata, jualan tersebut adalah satu inisiatif daripada pihak kerajaan yang dijalankan sepanjang tahun.

“Antara peruncit yang menjayakan inisiatif tersebut adalah TF Value-Mart yang melaksanakan Jualan Rahmah di semua 44 cawangannya di seluruh negara termasuk yang terbaharu di Sungai Lalang, Kedah.

“Jualan RAHMAH itu melibatkan 1,100 jenis barangan. Produk-produk yang ditawarkan pula mempunyai potongan harga bermula daripada 10 hingga 40 peratus.

“Untuk makluman, produk-produk diskaun akan dikemas kini setiap dua minggu bagi membolehkan semua rakyat Malaysia pelbagai umur dan latar belakang, menerima manfaat daripada Jualan Rahmah,” katanya semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai turut menzahirkan rasa gembira apabila melihat sambutan yang baik daripada pihak industri peruncitan negara.

“Saya gembira melihat sambutan baik pihak industri peruncitan negara untuk bersama-sama menyahut seruan kerajaan dalam membantu rakyat agar tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, program Jualan Rahmah digerakkan oleh KPDN bermula 11 Januari lalu dengan menawarkan barang keperluan dengan harga yang lebih murah.