Kerajaan ambil serius trend ancaman keselamatan di Malaysia, luar negara

Kerajaan memberi perhatian serius mengenai trend dan perkembangan semasa isu dan ancaman keganasan di Malaysia dan luar negara yang memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kewujudan pejuang pengganas warga asing (FTF), serangan bersifat lone-actor, individu sel radikal kendiri serta pengebom berani mati merupakan antara elemen yang sinomim dengan tindakan dan aktiviti keganasan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat mengancam keselamatan negara dan menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dalam apa jua bentuk sekalipun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan di Putrajaya hari ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Ahmad Zahid berkata secara keseluruhan, trend aktiviti keganasan di Malaysia dilihat menurun iaitu daripada tujuh kes tangkapan berkaitan aktiviti keganasan pada tahun 2020 kepada dua kes tangkapan berkait dengan aktiviti keganasan pada tahun 2022.

Katanya pada tahun 2022, Malaysia berada pada tahap kedudukan ke-75 berbanding kedudukan anak tangga ke-68 pada tahun 2021 dalam Indeks kedudukan ancaman keganasan global.

Jelasnya tangkapan individu melibatkan aktiviti keganasan di Malaysia turut mencatatkan penurunan terutamanya selepas pasca COVID-19.

“Setakat bulan Mac 2023, Malaysia telah meratifikasi sebanyak 10 instrumen keganasan daripada keseluruhan 19 instrumen dalam usaha menyokong langkah-langkah menangani keganasan di peringkat antarabangsa.

“Malaysia masih meneliti lanjut untuk menjadi Negara Pihak kepada sembilan instrumen antarabangsa berkaitan keganasan yang lain,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Arahan MKN No. 18: Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan sebagai dokumen dasar bagi mekanisme pengurusan krisis keganasan telah diperkemaskan bagi tujuan meningkatkan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan.

Tambahnya ia khususnya melibatkan tindakan penyelarasan dan kesiapsiagaan agensi-agensi keselamatan dalam menghadapi ancaman keganasan yang bersifat kompleks dan dinamik secara bersepadu.

“Selain itu, Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (NAPPCVE) akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat sebagai dokumen pelan tindakan yang komprehensif dalam konteks mencegah fahaman pelampau keganasan dengan penglibatan agensi- agensi kerajaan dan komuniti,” katanya.