Kerajaan Perpaduan mahu lebar sayap ke Kedah, Pantai Timur

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada Ahad ini merupakan satu langkah permulaan bagi kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kestabilan yang lebih kukuh.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Selangor Azli Yusof berkata pihaknya yakin strategi terbaik akan dibincangkan untuk memastikan Kerajaan Perpaduan melebarkan sayap ke Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Perhimpunan ini pastinya bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat di negara kita bahawa kesemua parti ini bertekad untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dan menjamin kestabilan negara.

“Ini merupakan himpunan yang sangat penting untuk mengumpulkan keseluruhan kepimpinan parti-parti politik dalam perpaduan dan juga aktivis-aktivis. Himpunan ini dapat memastikan bahawa Kerajaan Perpaduan akan disokong di peringkat Persekutuan untuk tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Azli Yusof MP Shah Alam dalam temuramah eksklusif pada 26 Jan 2023
AZLI YUSOF

Azli yang juga Ketua AMANAH Shah Alam berkata konvensyen tersebut menjadi bukti bahawa semua anggota parti Kerajaan Perpaduan dapat duduk bersama dalam memutuskan resolusi hala tuju mereka.

“Jadi ini satu kedudukan yang kita nak tunjuk kepada rakyat. Nak buktikan kepada pihak luar bahawa parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan boleh duduk dalam satu majlis, bersama-sama merencanakan dan memutuskan resolusi hala tuju bagi kerajaan Perpaduan,”

Azli berkata konvensyen itu juga bagi membolehkan anggota parti Kerajaan Perpaduan mempersiapkan agenda dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Jadi konvensyen ini memang satu program yang sangat penting sebagai langkah pertama ke arah kestabilan Kerajaan Perpaduan di Persekutuan dan seterusnya untuk menghadapi PRN tak lama lagi,” ujar Ahli Parlimen Shah Alam.

BACA JUGA: Konvensyen perkukuh hubungan antara parti, siap siaga hadapi PRN