Kerajaan Perpaduan serius fokus kepada rakyat

Kesemua 19 parti yang membentuk gabungan Kerajaan Perpaduan serius untuk bergerak ke hadapan dengan tumpuan kepada rakyat.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hal itu dizahirkan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini.

Menurutnya, konvensyen yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu diadakan sebagai manifestasi, iltizam, keazaman termasuk komitmen dari seluruh kepimpinan parti gabungan ini dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita nak bergerak ke hadapan (dengan) fokus kepada rakyat. Isu sekarang ini melibatkan ekonomi, selain memastikan kemakmuran, keselesaan dan mereka dapat pekerjaan dengan gaji bermaruah dan hidup dalam rukun damai.

“Jadi, ini soal-soal yang terkait dengan pembinaan negara bangsa dan juga konsep Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi sekretariat Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha AgungĀ  Umno berkata demikian dalam program Agenda Awani, “Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, Apa Yang Ingin Dicapai?” malam tadi.

Turut menjadi panel ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) tersebut berkata, konvensyen sehari itu juga untuk menunjukkkan kesungguhan Kerajaan Perpaduan menzahirkan makna Madani dalam kalangan rakyat yang sebelum ini sudah penat dengan beberapa siri pertukaran kerajaan.

“Bagaimanakah nak menterjemahkan idealisme Madani dalam kerangka masyarakat yang mengimpikan atau mendambakan keharmonian, kemakmuran dan kestabilan.

“(Tambahan) rakyat sudah letih, berdepan dengan ketidakstabilan politik menyaksikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, tiga kerajaan dan Perdana Menteri bersilih ganti hingga ‘memangsakan rakyat,” katanya lagi.