Konvensyen bukti Kerajaan Perpaduan stabil, berkhidmat kepada rakyat

Kerajaan Perpaduan melalui gabungan 19 parti terbukti stabil dan bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat, kata Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, penganjuran konvensyen di Pusat Dagangan Dunia (WTC), 14 Mei ini bakal menjadi bukti bahawa gabungan itu sebagai petanda positif ke arah memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Rakyat ingin melihat sebuah kerajaan yang stabil dan berpadu demi menjaga kestabilan rakyat.

“Konvensyen tersebut membuktikan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk “Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan: Hala Tuju Malaysia Madani” terbitan Bernama TV malam tadi.

Dalam masa sama, beliau berpendapat penganjuran konvensyen itu juga bakal membuka lebih banyak ruang kepada penyokong akar umbi parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan memahami keperluan permuafakatan.

Menurutnya, kerjasama politik perlu dibina bagi berhadapan cabaran ekonomi dan sosial untuk memastikan Malaysia terus mara ke hadapan.

“Tohmahan dan serangan dari pihak lain adalah perkara biasa tetapi yang lebih penting adalah kita bersedia berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Lebih 10,000 kepimpinan gabungan 19 parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan dijangka berhimpun dalam konvensyen bertemakan “Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia” di WTC, 14 Mei ini.