Lantik berdasarkan reputasi, pembabitan dalam masyarakat – Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mempertahankan keputusan melantik lima pemimpin politik sebagai pengerusi baharu badan berkanun di bawah kementeriannya.

Beliau berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan kepada perbincangan dengan kepimpinan tertinggi selepas meneliti reputasi dan pembabitan mereka dalam masyarakat.

“Jawatan mereka hanya pengerusi, di bawah ada pakarnya, semuanya bekerjasama. Pengerusi hanya mempengerusikan mesyuarat.

“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) misalnya, banyak pakar di bawahnya. Penglibatan mereka (pengerusi) dalam masyarakat yang utama, kita tak boleh pilih orang yang berbentuk elit kerana mereka kena ambil tahu hal di bendang, hal nelayan.

“Jadi, rekod mereka dalam masyarakat yang paling utama,” katanya selepas Majlis Perhimpunan dan Ramah Mesra bersama warga kementerian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang hari ini.

Mohamad menyatakan isu bahawa pelantikan tersebut merupakan ganjaran atau imbuhan buat mereka tidak timbul meskipun terdapat antara mereka adalah calon yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ramai yang kalah dalam PRU15 tapi jadi menteri sekarang. Apa kamu nak kata? Prestasinya juga bagus, jadi itu bukan pengukur,” katanya.

Semalam Mohamad mengumumkan pelantikan pengerusi lima badan berkanun Persekutuan melibatkan pemimpin politik berkuat kuasa mulai 15 Mei ini setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil yang merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH dan ADUN Permatang Pasir.

Turut dilantik Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu, ADUN Behrang Aminuddin Zulkipli yang juga Ketua AMANAH Tanjung Malim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail dari PKR pula dilantik sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan bekas ADUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali dari DAP dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

BACA JUGA: Mahfuz dilantik Pengerusi LPP, Faiz di LKIM