PH mesti kuasai semua media sosial, ambil iktibar tadbir 22 bulan

Kerajaan Perpaduan perlu menguasai semua platform media sosial dengan menyediakan bahan atau kandungan yang berpotensi menarik perhatian orang ramai khususnya generasi muda.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Umry Abdul Khois berpendapat, pihak kementerian yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat seperti inisiatif kerajaan, perlu menterjemahkannya menerusi platform media sosial.

Umry Abdul Khois

 

Beliau berkata, ia adalah bertujuan untuk menangkis segala dakwaan pihak pembangkang yang memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan sedia ada.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sejarah selama 22 bulan pentadbiran PH dilihat sebagai pengajaran kerana ketika itu Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan dilihat agak lemah dan tidak menguasai sepenuhnya penggunaan media sosial.

“Jadi, perkara tersebut perlu dijadikan iktibar dengan menguasai platform media sosial, apatah lagi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mempunyai dua pertiga majoriti dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Umry berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah-langkah yang patut diambil oleh Kerajaan Perpaduan terutama PH bagi menarik perhatian orang ramai atau pengundi menerusi media sosial.

Menerusi pemerhatian pihaknya, beliau berpendapat media sosial yang digunakan parti pembangkang dilihat sering memainkan sentimen sempit, palsu dan perkauman.

“Isu-isu seperti itu seolah-olah lebih menarik berbanding program dan inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat di negara ini.

“Justeru saya berpandangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu menjalankan pemantauan dalam media sosial terutamanya melibatkan isi kandungan yang tidak baik atau berunsur fitnah,” ujarnya lagi.