PRN: Belum muktamad rakan sekutu guna lambang dacing – Zahid

Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan sama ada membenarkan rakan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan bertanding menggunakan lambang parti gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini keputusan muktamad Dewan Tertinggi BN adalah calon parti gabungan itu akan menggunakan lambang dacing dalam PRN nanti.

“…kita tidak menolak jika ada parti-parti lain dalam kesepakatan Kerajaan Perpaduan, jika mereka berhasrat untuk menggunakan lambang BN, namun ia belum dimuktamadkan.

“Hasrat itu ada (parti guna lambang BN) tetapi belum dimuktamadkan,” kata beliau yang juga Presiden UMNO, lapor Bernama.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) di Putrajaya hari ini.

Semalam Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hassan berkata BN sedang mempertimbangkan hasrat parti bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan lambang dacing pada PRN akan datang.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Sebelum ini terdapat ura-ura calon dari rakan kerjasama Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan lambang dacing dalam PRN di Kelantan dan Terengganu sebagai salah satu usaha memenangi kerusi yang sebelum ini dikuasai Pas dan Perikatan Nasional (PN).

Cadangan menggunakan lambang dacing itu dilihat mampu memberikan saingan sengit kepada PN di dua negeri Pantai Timur itu berbanding Pakatan Harapan (PH).

BACA JUGA: PRN: Agihan kerusi BN, PH hampir selesai – Zahid