Pulau Pinang kecilkan 49 peratus saiz projek tambakan laut – Ketua Menteri

Kerajaan Pulau Pinang mengambil keputusan mengurangkan keluasan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau (PSI) dengan mengambil kira saranan Perdana Menteri supaya skop pembangunan pulau itu dikecilkan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, langkah itu melibatkan pengurangan saiz dari 4,500 ekar kepada 2,300 ekar iaitu pengecilan sebanyak 49 peratus berbanding perancangan yang diluluskan.

“Pengurangan saiz ini bermaksud hanya ‘Pulau A’ atau dikenali sebagai ‘Silicon Island’ seluas 2,300 ekar sahaja akan dilaksanakan dalam dua fasa (manakala) ‘Pulau B’ seluas 1,400 dan ‘Pulau C’ (800 ekar) tidak akan diteruskan,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini, lapor Buletin Mutiara.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah, Ekonomi dan Komunikasi memberitahu susulan keputusan itu sehingga kini hanya 115 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut terlibat secara langsung dengan pembangunan ‘Silicon Island’ berbanding 496 orang dari empat unit nelayan di kawasan terbabit sebelum ini.

“Seramai 115 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut yang berhadapan dengan tapak tambakan ‘Silicon Island’ terlibat secara langsung berbanding sebelum ini.

“(Dan) secara keseluruhan, jangka masa pembangunan ‘Silicon Island’ adalah selama 20 tahun,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Projek SRS Consortium SRS, Szeto Wai Loong memberitahu bahawa kos tambakan bagi pulau terbabit dianggarkan sebanyak RM6 bilion manakala kerja-kerja pembangunan infrastruktur pula adalah sebanyak RM2.5 bilion.

“PIC (Penang Infrastructure Corporation) selaku pihak berwajib bagi pembangunan tersebut akan memastikan pihak pemaju mematuhi segala syarat-syarat pembangunan yang ditetapkan termasuk (menerapkan) eleman amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Difahamkan, pembangunan ‘Silicon Island’ akan dilaksanakan dalam dua fasa yang mana fasa pertama berkeluasan 1,300 ekar dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 10 tahun, manakala fasa kedua pula merangkumi keluasan 1,000 ekar.

Selain itu, komponen seperti cadangan tapak depoh projek Transit Aliran Ringan (LRT) akan dikekalkan di pulau buatan itu termasuk pembangunan perumahan, komersial, institusi, ‘Green Tech Park’ (GTP) dan ‘Heart of the Island’ (HOTI).

Pada 11 April, ketiga-tiga pulau buatan itu mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Namun, keputusan tersebut mendapat reaksi daripada komuniti nelayan tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar kerana dibimbangi mendatangkan kesan buruk ekosistem hidupan laut.

BACA JUGA: Projek tambak laut Pulau Pinang akhirnya dapat kelulusan EIA