‘Sanggup bertolak ansur, ketepi sengketa bentuk pentadbiran bersama’ – Shamsul Iskandar

Usaha untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bukanlah mudah apatah lagi bagi musuh politik yang telah berbalah untuk tempoh yang lama, kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Walau bagaimanapun, kata Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu, demi kepentingan negara, “pemain politik” sanggup bertolak ansur dan berjiwa besar dengan mengenepikan persengketaan dalam membentuk pentadbiran bersama.

Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan Malaysia Madani bagi mengikat kerjasama yang terjalin serta mewujudkan kestabilan kepada negara.

“Kenapa ada gagasan (Malaysia Madani) ini? Perdana Menteri berharap gagasan ini dapat mengikat semua kumpulan-kumpulan yang bergabung di bawah kerajaan perpaduan.

“Sebab bukan mudah untuk ada ikatan ini dan rakyat akan tanya, tokoh politik akan tanya kenapa kita bergabung? Sebab kita mahukan kestabilan,” ujarnya.

Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata demikian dalam sesi dialog isu semasa pada Majlis Silaturrahim Laskar Siber Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat Umno, di ibu negara malam tadi.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Umno Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.