Shamsul saran buat program tonton filem Anwar

Sebagai simbolik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyarankan penganjuran program menonton wayang percuma menerusi filem Anwar: The Untold Story.

Menurutnya, ia boleh dilakukan jika terdapat tawaran dan kerjasama daripada mana-mana pimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk menganjurkannya di kawasan masing-masing.

“Kita buat program pergi tengok wayang filem Anwar: The Untold Story dan perkara ini adalah benda paling mudah dilakukan sepertimana mereka (PN) mempromosikan filem Mat Kilau.

“Tidak kira pemimpin di peringkat mana sekalipun, sekiranya ada kemampuan kewangan dan bolehlah tempah satu panggung (wayang) serta mengajak orang ramai untuk menonton filem ini,” katanya pada Majlis Silaturrahim Laskar Siber Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat Umno, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Umno Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Shamsul yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, inisiatif berkenaan merupakan satu program yang cukup baik untuk dilakukan kerana filem biopik itu mengandungi banyak kritikan sosial.

“Dalam filem itu, kita boleh dapatkan pelbagai perkara misalnya keseriusan Anwar Ibrahim (menentang rasuah) dan kesengsaraan yang dilaluinya akibat musuh tokoh-tokoh politiknya.

“Selepas menonton wayang juga kita mungkin boleh buat program berbentuk ulasan dengan memanggil beberapa tokoh sebagai contoh,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut boleh dilaksanakan dengan menjadikan golongan pengundi 18 sebagai sasaran utama bagi memberikan mereka mesej-mesej yang positif.

Terdahulu, filem biopik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anwar: The Untold Story bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei ini.

Filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Anwar dan aktres Indonesia, Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.

BACA JUGA Sayu derita kisah jatuh bangun Anwar dan keluarga