SPRM berjaya dapat semula RM29 bilion dana dicuri dari 1MDB

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya mendapatkan semula kira-kira RM29 bilion melibatkan dana yang dicuri dari syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya masih mengalami defisit sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan RM42 bilion dana tersebut.

“Pemulihan sedang berjalan. Kami masih banyak yang perlu dipulihkan di seluruh dunia terutamanya di Switzerland.

“Kami telah mendapatkan semula kira-kira RM29 bilion, tetapi kami berada dalam defisit kira-kira 30 peratus (daripada jumlah RM42 bilion),” katanya yang dipetik dari laporan NST hari ini.

Azam yang bersara telah dilantik semula mengetuai suruhanjaya itu selama setahun lagi mulai esok.

Memetik laporan itu, Azam turut tidak bersetuju SPRM menerima penyelesaian daripada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB Low Taek Jho atau Jho Low.

“Peguam negara sebelum ini menolak tawarannya. Saya juga tidak bersetuju (dengan penyelesaian itu). Saya rasa kerosakan yang dia lakukan kepada negara ini terlalu banyak,” katanya ketika mengulas mengenai perkembangan pemburuan Jho Low.

Dalam pada itu, Azam enggan mengulas mengenai usaha pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ia adalah hak prerogatif raja untuk memutuskan pengampunan baginda, jadi saya tidak boleh mengulas banyak mengenainya,” ujarnya.

Mengenai tindakan SPRM menjadikan beberapa suspek sebagai saksi antaranya Datuk Rizal Mansor iaitu pembantu kepada Datin Seri Rosmah Mansor, beliau menjelaskan pendakwa raya mempunyai hak perlembagaan untuk mendakwa atau tidak mendakwa tertuduh.

Jelasnya pendakwa raya mempunyai hak prerogatif untuk menarik balik pertuduhan terhadap tertuduh supaya mereka boleh digunakan sebagai saksi untuk mengukuhkan kes.

“Saya adalah seorang pendakwa selama 12 tahun, dan sebagai seorang pendakwa raya, anda akan menghargai langkah untuk membuktikan kes di luar keraguan munasabah dan mendapatkan sabitan.

“Di negara lain, seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, perjanjian pendakwaan tertunda (DPA) digunakan untuk merundingkan penyelesaian dan bukannya mendakwa pihak yang dituduh di mahkamah.

“Terdapat banyak kes besar yang menggunakan DPA, seperti skandal Boeing dan Airbus France,” ujarnya sambil menambah SPRM juga menceburi bidang itu dengan melihat undang-undang liabiliti korporatnya.

Namun jelas beliau pada masa ini, SPRM mempunyai peruntukan di bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram untuk kehilangan hasil haram dan mendapatkannya melalui cara yang sah serta mengenakan hukuman dengan cara kompaun.

BACA JUGA: “Saya akan siasat sesiapa walaupun menteri” – Ketua Pesuruhjaya SPRM