Tiada ruang PN ‘tebuk atap’, pintu belakang sudah ‘locked’ – Fahmi
Gerakan Perikatan Nasional (PN) untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pada masa ini tidak akan berlaku, tegas Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin kukuh dan stabil malah sebarang usaha untuk cuba menjatuhkannya adalah sia-sia.
“Kita dengar sebelum ini ada ura-ura angka disebut (oleh pembangkang) kononnya itu ini…itu ini.
“Tapi pintu itu sudah ditutup, atap pun sudah ‘sealed’ dan pintu belakang pun sudah ‘locked’ (dikunci),” katanya dalam Majlis Silaturrahim Laskar Siber Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata kekukuhan kerajaan pada hari ini boleh dibuktikan dengan kelulusan usul percaya kepada Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.
“Pada waktu itu telah terbukti bahawa 148 (sokongan) itu adalah angka yang sahih, jadi tidak timbul sekarang kalau ada sesiapa yang nak uji semula (usul percaya).
“Takkan setiap kali nak mulakan mesyuarat Parlimen bukan sahaja dimulakan dengan doa tapi undi percaya. Itu tidak masuk akal,” katanya.
Fahmi menambah bahawa segala tindakan PN harus dinoktahkan kerana ia akan mengganggu-gugat bukan sahaja kestabilan malah merencatkan pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya lagi, tindakan sedemikian hanyalah satu cubaan untuk mensabotaj pemulihan negara.
Terdahulu, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sokongan 148 Ahli Parlimen yang menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama yang dimeterai gabungan parti politik Kerajaan Perpaduan masih lagi kekal dan utuh.
BACA JUGA: Negeri yang dianggap kubu pembangkang akan jadi kubur PN