Wanita AMANAH saran tampilkan 30 peratus calon wanita dalam PRN

Wanita AMANAH Nasional menyarankan agar semua parti politik menampilkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi sebagai permulaan untuk memperkasakan kaum hawa dalam pentadbiran.

Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN), Anfaal Saari berkata, semua parti politik bermula dengan Pakatan Harapan (PH) boleh meminda dasar perkaderan dan pengurusan pembangunan bakat (talent pipeline), agar 30 peratus atau lebih calon dalam Pilihan Raya Umum ke-16 terdiri daripada wanita.

“Sebuah kajian InterParliamentary Union (IPU) pada 2008 menunjukkan bahawa perwakilan wanita (ahli Parlimen, ADUN atau ahli majlis) mencerakinkan sesuatu isu melalui sudut pandang berbeza berbanding perwakilan lelaki.

“Ini memperkaya proses pembikinan polisi terutama dalam isu-isu sosial dan kekeluargaan, melibatkan hak dan kebajikan wanita.

“Dari sudut populariti, parti yang mempunyai barisan pimpinan wanita yang dipercayai serta bilangan perwakilan wanita lebih banyak akan menarik lebih ramai penyokong wanita di peti undi.

“Di samping itu, dalam konteks Malaysia, parti yang mempunyai sayap wanita yang kukuh juga akan meraih lebih banyak undi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sambil menamakan Umno sebagai contoh parti mempunyai sayap wanita yang kuat.

Sementara itu, Anfal berkata, semua pihak harus berperanan dalam usaha meningkatkan perwakilan wanita dalam ruangan awam, khususnya dalam politik dan pentadbiran awam.

Untuk itu, Pegawai khas Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang itu mencadangkan beberapa langkah penting bersifat diskriminasi positif yang harus dilaksanakan segera.

Dalam masa sama, beliau menyarankan parti-parti politik memperjuangkan peningkatan komposisi Exco Negeri, Jemaah Menteri Sabah, Jemaah Menteri Sarawak dan Jemaah Menteri Persekutuan agar mencapai nisbah sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang hujung penggal Parlimen ini iaitu akhir tahun 2027.

“Keempat, kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan boleh meminda dasar pengurusan sumber manusia untuk melatih dan mengangkat sekurang-kurangnya 30 peratus jawatan kanan negeri dan PBT daripada kalangan wanita.

“Kelima, Kerajaan Persekutuan boleh segera berusaha untuk melantik sekurang-kurangnya 30 peratus daripada Menteri, Timbalan Menteri dan anggota Majlis Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan (Majlis KSU-KP) wanita.

“Keenam, Kerajaan Persekutuan boleh memastikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) segera melaksanakan 30 pelantikan wanita dalam lembaga pengarah,” ujarnya.

Akhir sekali kata Anfal, badan-badan kawal selia persekutuan yang berkenaan terutamanya Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti boleh memperkenalkan insentif sesuai untuk meningkatkan komposisi lembaga pengarah syarikat terbesar di Malaysia menjelang hujung tahun 2027.

BACA JUGA PH Gem sasar perkasa wanita dengan kemahiran, latihan