Ada berita gembira untuk Kelantan bakal PM umum malam ini
Perdana Menteri bakal mengumumkan berita gembira iaitu projek dan peruntukan untuk Kelantan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani, malam ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang akan diumumkan itu adalah lebih dari apa yang diumumkan pada Belanjawan Madani sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan tidak mahu negeri yang dikuasai Pas lebih 30 tahun itu ketinggalan.
“Naratif negeri Pantai Timur dan Sabah adalah ketinggalan dan kita bertekad untuk menambah peruntukan serta kemudahan kepada negeri-negeri khususnya Kelantan.
“Malam ini saya mungkin menyebut beberapa keputusan baru iaitu lebih dari apa yang diumumkan pada Belanjawan Madani sebelum ini iaitu projek yang saya percaya dapat membantu membangunkan Kelantan.
“Kita tidak mahu Kelantan ketinggalan berbanding negeri-negeri lain,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL, hari ini.
Mulai jam 7 malam ini, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di Kelantan akan berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu sehingga jam 10.30 malam.
Siri rumah terbuka sempena Aidilfitri anjuran Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri itu akan diteruskan di Terengganu esok dan berakhir di Gombak, Selangor pada 14 Mei.
Mulai 29 April lalu, Rumah Terbuka Aidilfitri yang buat julung kalinya diadakan semasa pentadbiran Perdana Menteri Anwar berlangsung di Kedah diikuti Pulau Pinang pada 6 Mei dan keesokannya di Negeri Sembilan.