Dari konvensyen ke PRN

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini pastinya akan merapatkan hubungan Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan gabungan komponen lain yang menjadi blok kerajaan.

Yang pasti, ia akan menjadi platform rasmi dalam persediaan ke arah pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri iaitu: Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Perkara ini telah disentuh oleh Naib Angkatan Muda Keadilan Prasanth Kumar Brakasam semalam.

Dari sudut penjenamaan, apakah gabungan PH dan BN akan menggunakan logo yang sama di dalam enam PRN?

PH pula berwarna merah dengan perkataan HARAPAN telah pun menunjukkan keberkesanan semasa pilihan raya umum ke 15.

Walau bagaimanapun ia kurang berkesan di tiga buah negeri yang akan berdepan pilihan raya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Berbanding dengan BN, logo HARAPAN sangat muda dan mendapat sambutan sekurang-kurangnya di negeri tadbiran PH.

Logo dacing dengan latar belakang biru BN memang sudah dikenali ramai sejak ia diperkenalkan. Walau bagaimanapun dari sudut mendapatkan undi, adakah ia kuat?

Pengarah pilihan raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga timbalan presiden Umno telah mengumumkan bahawa BN akan menggunakan lambang dacing di negeri tertentu.

Persoalannya adakah ia akan memberi kesan positif kepada Kerajaan Perpaduan?

Dari sudut imej, PH mempunyai imej yang lebih baik berbanding BN.

Perlu juga diingat bahawa masa sudah suntuk untuk memperkenalkan logo baru yang mencerminkan kesatuan PH-BN.