Exco Selangor hargai usaha Coldplay bantu tingkat kebersihan sungai
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim menghargai usaha kumpulan muzik antarabangsa, Coldplay bersama pertubuhan tidak berasaskan keuntungan Belanda yang menaja mesin memerangkap sampah di Sungai Klang.
Beliau berkata, usaha membersih dan memulihkan sungai itu kini dipergiatkan menerusi penggunaan jentera pembersihan sungai, Interceptor 005.
Katanya, Interceptor kedua itu beroperasi di negara ini selepas Interceptor 002 beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019.
“Saya menghargai usaha kugiran ternama dunia, Coldplay bersama NGO The Ocean Cleanup yang sudi menaja Interceptor 005, mesin memerangkap sampah di Sungai Klang.
“Untuk makluman, Malaysia merupakan negara pertama yang menerima Interceptor 005 di bawah inisiatif projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
“Dengan kehadiran Interceptor 002 dan 005, Sungai Klang yang berada di tahap kekotoran tertinggi iaitu lima telah turun ke tahap tiga,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri Selangor menjadikan inisiatif pembersihan Sungai Klang sebagai keutamaan dan komited ke arah memenuhi sasaran ditetapkan dengan mengambil langkah tambahan menghentikan sisa pepejal dan efluen daripada masuk ke Sungai Klang.
Sepanjang 56 kilometer (km) kawasan Sungai Klang dipulihara dengan kebanyakan sampah terapung dikeluarkan apabila lebih 30 lokasi di hilir sungai termasuk anak-anak sungai, longkang monsun dan kunci air dipasang perangkap dan penyaring sampah.
Dalam pada itu, Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah turut menyeru seluruh masyarakat agar menjaga kebersihan sungai di seluruh Selangor demi masa depan generasi akan datang.
Agensi antarabangsa melaporkan, Coldplay yang dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion itu menyumbang AS$777,000 (RM3.2 juta) bagi jentera tersebut.
Interceptor adalah sebuah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sehari sampah terapung yang dibuang ke dalam sungai sebelum sampai ke laut.
Direka khas untuk membendung pencemaran di 1,000 sungai paling tercemar di dunia, Interceptor 005 adalah salah satu daripada dua unit yang dihasilkan dalam siri rekaan generasi ketiga teknologi ini.
Sementara itu, Coldplay bakal mementaskan konsert dalam siri jelajah, Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan.
Berikutan itu, tajaannya dipercayai membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan mereka ke negara ini.
Ciapan Anwar Ibrahim menerusi Twitter disambut baik peminat yang tidak sabar menantikan konsert pertama kumpulan yang diasaskan di London, United Kingdom (UK) pada 1997 itu di Malaysia.
BACA JUGA 10 inisiatif terbaik kerajaan PH Selangor khas buat rakyat