Hari Jururawat Sedunia: Jururawat sentiasa dihargai dan disokong

Kerajaan sentiasa menghargai dan memberikan sokongan kepada jururawat yang berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat Malaysia.

Sempena Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menyifatkan hari ini sebagai hari untuk mengenang dan menghargai jasa jururawat yang menjadi penjaga kepada kesejahteraan pesakit di hospital, pusat kesihatan, dan klinik-klinik di seluruh negara.
Beliau turut menyatakan harapan agar semua jururawat terus berusaha dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jururawat yang berkhidmat di Malaysia. Terima kasih atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang perkhidmatan.
“Anda semua telah menunjukkan semangat kerjasama dan dedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
Dr Zaliha juga menyifatkan jururawat sebagai aset penting dalam sistem kesihatan negara kerana tugas dan tanggungjawab mereka amat penting dalam memastikan pesakit mendapat rawatan berkualiti dan profesional.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat di Malaysia. Semoga hari ini menjadi peringatan kepada kita semua tentang betapa pentingnya peranan jururawat dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia,” katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut menyampaikan ucapan selamat sempen Hari Jururawat Sedunia.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua jururawat yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang. Teruslah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan amanah.
“Berikan yang terbaik dan bekerjalah demi Malaysia Madani,” kata beliau yang juga adalah presiden AMANAH dalam hantaran di Facebook.
Â