Kes Azlan Man dipindahkan ke Kuala Lumpur

Perbicaraan kes tuntutan palsu mantan menteri besar Perlis Datuk Azlan Man telah dipindahkan dari mahkamah sesyen Perlis ke mahkamah sesyen Kuala Lumpur.

Azlan menghadapi lima tuduhan tuntutan palsu yang bernilai RM1.185 juta ringgit.

Pemindahan tersebut dibenarkan oleh hakim mahkamah sesyen Norsalha Hamzah ekoran permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menerusi timbalan pendakwa raya Rehab Shukur.

Rehab dalam permohonannya meminta agar lima tuduhan di bawah seksyen 18 Akta SPRM dibicarakan bersekali dengan lima tuduhan lain di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 10 April, beliau mengaku tidak bersalah di atas tuduhan tersebut. Jumlah wang tersebut dituntut berkaitan dengan perjalanan yang dibuat oleh beliau ke England.

Selepas itu beliau turut menghadapi tuduhan lima tuduhan pengubahan wang haram di Kuala Lumpur.