Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan lembaran sejarah politik negara

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei merupakan tarikh yang cukup penting kerana Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan diadakan buat julung kali membuka lembaran sejarah politik negara.

Bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, konvensyen ini merupakan satu usaha untuk mewujudkan kesefahaman dan kolaborasi yang lebih kukuh di peringkat pimpinan parti-parti politik yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan.

Matlamat utama konvensyen adalah bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan demi memacu agenda ekonomi, sosial dan pendidikan serta dijangka menghimpunkan lebih 10,000 peserta daripada 19 parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan.

Konvensyen sehari itu, bertemakan ‘Madani: Mengangkat Agenda Rakyat’ turut berperanan sebagai pemangkin aspirasi Malaysia Madani, seperti digagaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Konvensyen yang bakal diadakan pada hujung minggu itu akan memberi peluang kepada barisan kepimpinan untuk saling berkongsi input dalam usaha membela nasib rakyat demi pembangunan, keutuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Menerusi tentatif program itu, sesi pertama konvensyen akan bermula pada jam 10 pagi hingga 12.30 tengahari dengan Konvensyen Nasional Wanita di Dewan Merdeka dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri di Dewan Tun Hussein Onn.

Konvensyen Wanita akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Konvensyen Pemuda diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ia disusuli dengan konvensyen utama bermula pada jam 2 petang dengan sidang Bicara Rakyat yang menyaksikan tiga sub sesi dengan tajuk berbeza, iaitu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia Madani yang akan dibentangkan oleh wakil-wakil atau pemimpin daripada parti-parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Selain ucapan daripada pimpinan utama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan, turut disertakan pengenalan lagu rasmi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan dan pelancaran Tekad Bersama.

Kemuncak Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia di Dewan Merdeka itu akan berlangsung pada 3.30 petang dengan amanat Perdana Menteri yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Konvensyen ini akan menghimpunkan pengerusi-pengerusi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ia akan turut disertai parti komponen parti Kerajaan Perpaduan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ini penting bagi menjamin kestabilan politik antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sekali gus mengelak krisis politik yang berlaku sepanjang empat tahun lalu berulang.

Konvensyen ini akan menjadi titik tolak kepada mewujudkan kesefahaman dan kolaborasi yang lebih kukuh di peringkat parti dengan matlamat yang jelas bagi memastikan kestabilan politik dapat dipertahankan.

Konvensyen ini turut menjadi pentas terbaik untuk pimpinan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan menyatakan tekad dan keazaman secara bersama bagi memastikan komitmen dan agenda yang akan dilaksanakan didukung sepenuhnya parti di semua peringkat.

Program berskala besar itu akan disiarkan secara langsung di laman media sosial rasmi Facebook pimpinan dan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

BACA JUGA: 10,000 ahli parti bakal menghiasi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan