Mahathir tinggalkan GTA, tidak mahu terlibat lagi dengan parti politik

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau kini tidak lagi bersama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan tidak mahu lagi terlibat dengan mana-mana parti politik.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas menyedari bahawa GTA tidak dapat berfungsi dengan baik selain gagal menarik sokongan pengundi terutama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lepas.

“Kita dapati kalau (bergerak) sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), GTA dan Pejuang kalah 125 kerusi,” katanya.

Semua 125 kerusi yang ditandingi GTA dalam pilihan raya lalu tewas bahkan hampir kesemua hilang deposit termasuk beliau di Langkawi.

Menurut Mahathir, GTA belum didaftarkan dan tidak berfungsi dan tidak bergerak dengan baik.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, di sini malam tadi.

Pada Februari lalu, Dr Mahathuir mengumumkan keluar Pejuang yang dipimpin anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bersama 12 ahli lain berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan bersama GTA, namun kekal sebagai Pengerusi GTA.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir memaklumkan, beliau kini bergerak melalui medium Proklamasi Orang Melayu selain tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di negara ini.

Medium berkenaan, jelas bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, berupaya memberi kesedaran kepada orang Melayu di negara ini tentang nasib mereka yang dilihat sudah kehilangan kuasa di negara sendiri.

 

BACA JUGA Tun M, cukup-cukuplah tu, move on

Â