Masalah air Kelantan takkan selesai dengan peruntukan
Masalah bekalan air bersih di Kelantan tidak boleh diatasi hanya dengan peruntukan semata-mata tanpa komitmen dari pihak kerajaan negeri menyelesaikan isu tadbir urus yang lemah.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mantan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengetuai kementerian itu pada 2022 mengakui masalah air di Kelantan bertitik tolak dari kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang tidak mampan.
“Saya mengingatkan mereka tentang jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, Tuan Ibrahim Tuan Man ketika saya bertanya di Parlimen tentang punca masalah bekalan air di Kelantan pada 2022.
“Justeru menyalurkan wang semata-mata tanpa mereformasikan tadbir urus AKSB tidak akan selesaikan isu air Kelantan.
“Kami di Kerajaan Pusat memberikan komitmen untuk membantu kerajaan negeri selesaikan isu air, tapi mereka harus tunjukkan komitmen selesaikan isu tadbir urus,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu Nik Nazmi ditanya mengenai kemelut bekalan air bersih di Kelantan yang belum dapat diatasi sejak sekian lama dan kerajaan negeri sering mengaitkannya dengan masalah peruntukan dari Putrajaya.
Pada Julai 2022, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas menjawab soalan dikemukakan Nik Nazmi yang bertanya punca masalah bekalan air di Kelantan dan jalan penyelesaiannya.
Dalam jawapan Tuan Ibrahim, kerajaan ketika itu memetik tentang “kelemahan tadbir urus kerajaan negeri selain kedudukan kewangan AKSB tidak mampan. Justeru perkara itu menyebabkan AKSB menghadapi kesukaran untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada penduduk Kelantan”.
Masalah bekalan air di negeri antara perkara yang sering dibangkitkan sejak puluhan tahun lalu, malah pimpinan kerajaan Kelantan sebelum ini memaklumkan peruntukan berjumlah RM7 bilion diperlukan bagi mengatasinya.
BACA JUGA: Nik Nazmi berazam mahu selesaikan masalah air di Kelantan