Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan: Pemuda PH bawa isu kualiti pendapatan
Pemuda Pakatan Harapan (PH) bakal mengetengahkan isu pendidikan, kualiti kerja dan pendapatan bermaruah dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), lusa.
Ketuanya, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, antara yang akan diutarakan adalah seperti dan juga perlindungan sosial kepada pekerja muda di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan satu konvensyen melibatkan Pemuda Perpaduan yang mempunyai satu sesi bagi mendapatkan maklum balas daripada anak-anak muda.
“Daripada platform itu, kami akan mengumpulkan beberapa tekad (kemahuan) anak muda dengan isu-isu yang sangat penting dalam kalangan mereka tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
“Seterusnya, dalam konvesyen utama itu nanti, kami akan menyerahkan (suara anak muda) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sama-sama memastikan isu mereka diutamakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang apakah antara penegasan (isu) yang akan dibawa pihaknya dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Ahad ini.
Mengulas lanjut, Dr Kelvin yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, satu jentera baharu iaitu Geng Perpaduan yang melibatkan semua sayap pemuda parti gabungan, juga akan dilancarkan Ahad ini.
“Kepimpinan semua parti (sayap pemuda) dalam Kerajaan Perpaduan akan bersama-sama membuat satu gerakan dan bersama dengan rakyat di luar sana.
“Ia adalah untuk memastikan agar isu yang mereka hadapi, akan diutamakan, disuarakan sekali gus dibawa oleh pemuda parti Kerajaan Perpaduan,” ujarnya lagi.
Konvensyen bertemakan ‘MADANI Mewajahi Masa Depan Malaysia’ itu adalah julung kali diadakan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim enam bulan lalu.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilapor berkata, konvensyen tersebut menjadi medan penting dalam memastikan kesefahaman dan komitmen semua parti gabungan untuk mengutamakan agenda rakyat, berbanding parti politik.
Kataya, konvensyen yang dijangka menghimpunkan lebih 10,000 ahli parti itu akan menterjemahkan keserasian bukan sahaja di peringkat tertinggi, tetapi juga akar umbi.
“Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia ini lahir atas hasrat untuk kita memulakan satu hubungan erat yang lebih kukuh dan ampuh. Bermula di peringkat nasional dan insyaAllah kita akan mula turun ke negeri-negeri sehingga ke peringkat Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata beliau.
Â