PM tuntut kerjasama Kelantan selesaikan masalah air

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri Kelantan jika mahu menyelesaikan masalah bekalan air.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan akan mengemukakan cadangan projek bekalan air yang lengkap dan cepat dalam meringankan beban rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, hal tersebut sudah dibincangkan bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Hasil perbincangan itu telah dipersembahkan Kebawah Duli Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Kerajaan Persekutuan akan mencari dana dan menyelesaikan masalah itu (air) dengan sebaik mungkin,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri I Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Selain itu, Anwar memberitahu, Belanjawan 2023 Malaysia Madani mencatatkan peruntukan pembangunan terbesar buat Kelantan termasuk 107 projek baharu yang akan dilaksanakan nanti.

Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kelantan pada 21 Syawal ini menyaksikan kemeriahan kehadiran lebih 15,000 rakyat negeri itu.

Semalam, dilaporkan kaedah tadbir urus Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjadi faktor utama masalah air di Kelantan berlarutan berpuluh tahun sehingga kini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata masalah itu juga diakui dan dimaklumkan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjadi Menteri Alam Sekitar Dan Air.

Katanya, soal peruntukan memang menjadi sebahagian isu, tetapi perkara utama adalah masalah tadbir urus AKSB yang gagal.