Siapa blogger ditahan terima rasuah RM1.3 juta lobi kontrak kementerian?

Seorang blogger ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah di sebuah kementerian dalam satu projek membabitkan kos kira-kira RM41 juta.

Lelaki itu dikenakan perintah reman selama dua hari sehingga esok dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Lapor BH memetik sumber, suspek yang mempunyai ramai pengikut dipercayai menerima rasuah kira-kira RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) tiga tahun lalu.

Menurut sumber itu lagi, permintaan dan pembayaran rasuah dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek untuk melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

Selain isu jenayah rasuah yang disiasat mengikut Seksyen 16 ASPRM 2009 itu, SPRM juga dikatakan akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek tersebut dilaksanakan.

Difahamkan, blogger terbabit juga sebelum ini merupakan moderator dalam slot dialog menerusi saluran media atas talian.