‘Yang PH bantah lantikan politik ke GLC, sekarang untuk agensi kementerian’

Pelantikan beberapa ahli politik ke agensi kerajaan baru-baru ini bukan lantikan berkepentingan, apatah lagi dianggap sebagai ‘ghanimah’ seperti didakwa seorang Ahli Parlimen kerajaan hari ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil berkata, agensi-agensi terbabit adalah sebahagian dari cabang kerajaan, yang sememangnya membolehkan ahli politik dilantik.

Jelasnya, apa yang dibantah Pakatan Harapan (PH) selama ini adalah lantikan politik ke dalam syarikat bukan kerajaan (GLC) yang berorientasikan keuntungan sekaligus menimbulkan konflik berkepentingan jika ahli politik yang mengetuainya.

“Agensi ini ibarat ‘anak’ kepada kementerian. Apa yang dibantah oleh PH sebelum ini adalah lantikan GLC dalam kalangan ahli politik yang sepatutnya perlu melibatkan golongan profesional kerana GLC adalah syarikat berorientasikan keuntungan.

“Agensi pula bukan syarikat perniagaan. Agensi adalah cabang kerajaan dan oleh itu, tidak timbul masalah atau konflik kepentingan untuk melantik ahli politik menerajui agensi.

“Sama juga seperti kementerian yang diterajui menteri selaku ahli politik. Agensi juga boleh dipengerusikan ahli politik kerana pengerusi perlu mentadbir agensi itu berdasarkan agenda dan visi yang ditetapkan kerajaan hari ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Tambah Faiz, agensi berbeza dengan GLC kerana ia ditubuhkan di bawah kementerian yang dipandu oleh statut undang-undang.

Malah, ujarnya, agensi bukan entiti berorientasikan keuntungan tetapi lebih kepada sebuah entiti kerajaan.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim hari ini yang mendakwa kerajaan akan dilihat tidak ada bezanya dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin kerana lantikan politik yang diumum.

Hassan juga khuatir agenda Pakatan Harapan dalam reformasi politik dan kerajaan akan lenyap jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertindak mengekang pelantikan politik selanjutnya.

Beliau turut menimbulkan soal ghanimah dengan mengatakan; “Nanti bila amalan ‘ghanimah’ politik ini sudah jadi asal bisa tegal biasa, sudah tidak ada beza prinsip kerajaan sekarang ini dengan kerajaan zaman pimpinan Najib, Mahiaddin”.

Namun, Faiz menepis tuduhan itu, mengatakan bahawa dakwaan menerima ghanimah adalah polemik politik tidak berasas kerana elaun yang dibayar datang dengan tanggungjawab.

Bahkan, beliau menjelaskan bahawa pelantikan kesemua ahli-ahli politik ini bukanlah untuk GLC.

Untuk rekod, beberapa pelantikan politik diumumkan, termasuk membabitkan pemimpin AMANAH ke dalam badan berkanun bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui Datuk Seri Mohamad Sabu.

Antaranya bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkuat kuasa 15 Mei ini (Isnin).

Selain Mahfuz, ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Selain dua pemimpin AMANAH, Mohamad turut mengumumkan pelantikan tiga lagi pengerusi badan berkanun di bawah kementeriannya.