Anwar-anak Nik Aziz bertemu demi penerusan legasi allahyarham
Pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah atas semangat untuk memastikan legasi allahyarham dapat diteruskan.
Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussinyang turut hadir dalam pertemuan itu, Anwar turut bertanya khabar kepada Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar.
“Pertemuan antara Perdana Menteri dengan dua anak Tok Guru Nik Abdul Aziz iaitu Nik Omar dan Nik Mohamad Abduh adalah atas semangat untuk memastikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz dapat diteruskan dalam banyak aspek, terutama dalam dua aspek besar iaitu pendidikan Islam serta politik yang berasaskan kemanusiaan dan persaudaraan.
“Dalam pada itu, Perdana Menteri bertanya khabar berkenaan perkembangan terkini berkenaan dua anak tok guru ini.
“Perdana Menteri ada menyebut berkenaan semangat persaudaraan antara beliau dengan ramai teman lama beliau, termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
Dalam pada itu, Wan Ji memaklumkan bahawa pertemuan itu turut ada membangkitkan isu politik.
Ada, terutama berkisar dalam isu Kerajaan Perpaduan dan hubungan persaudaraan yang Perdana Menteri berharap sangat ia berlaku antara beliau dan Presiden PAS.
“Selain sikap PAS dalam menangani isu yang dibangkitkan supaya tidak menggagalkan usaha membina negara,” katanya.
Lawatan sehari Anwar Ibrahim ke Kelantan semalam menimbulkan tanda tanya tersendiri dalam kalangan rakyat Malaysia susulan pertemuannya bersama dua anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Semalam, dua keping gambar yang memaparkan Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar duduk bersama Anwar Ibrahim tular di media sosial.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menemani Anwar dalam pertemuan ini.