Dr M tak perlu tegakkan benang basah

Bekas perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak perlu menegakkan benang yang basah dalam isu aset yang dimilikinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Keluarga Dr M) dah ada, pesawat, ada kapal, ada syarikat berbilion semua tahu. (Tak perlu) menegakkan benang basah,” kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Malaysia Madani di Dataran Merdeka.

Beliau turut mengingatkan Mahathir bahawa beliau telah pun mengisytiharkan harta dan aset yang dimilikinya itu bukan rahsia.

“Saya tak ada masalah. Saya di antara orang isytihar harta dan tidak diam. Baru-baru ini pun saya isytiharkan berapa (aset), RM11 juta. (Daripada jumlah) RM11 juta tu harga rumah Segambut (RM10 juta). Itu bukan rahsia itu diketahui umum,” kata Anwar.

Anwar yang juga adalah pengerusi Pakatan Harapan mengisytiharkan aset bersih RM11.18 juta pada November tahun lepas, dengan RM828,667.83 berbentuk aset tunai dan RM10.35 juta dalam hartanah.

Semalam Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa beliau mendanai PAS dalam pilihan raya negeri.

“Saya tidak mempunyai wang. Satu-satunya yang kata saya ada wang ialah Anwar. Sebab itu saya beritahunya kalau dia boleh jumpa aset RM1 billion, saya akan beri separuh kepadanya,” Mahathir dipetik berkata oleh media semalam.

Mahathir telah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar ekoran kenyataan (Anwar) yang memberikan gambaran bahawa beliau telah memperkayakan diri dan keluarga.

Anwar telah membuat kenyataan tersebut semasa kongres PKR dalam bulan Mac.

BACA JUGA: Anwar akan jawab di mahkamah saman malu Dr Mahathir