Melayu DAP tak selesa dengan Proklamasi Melayu
Melayu DAP tak selesa dengan Proklamasi Melayu, inisiatif politik terbaru mantan perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP merangkap Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
“Sebagai seorang Melayu dalam DAP, saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak selesa dengan inisiatif Proklamasi Melayu tersebut. Saya juga masih tidak menandatangani Proklamasi tersebut yang diwujudkan atas talian,” kata beliau dalam satu kenyataan.
“Saya telah membacanya, namun tiada apa-apa yang saya lihat baharu dalam proklamasi tersebut. Mantra ‘melayu hilang kuasa’ tidak lebih sekadar satu naratif yang boleh mencetus polemik politik sepertimana ia dimainkan sejak dahulu lagi.”
Beliau berkata demikian sebagai balasan kepada dakwaan Mahathir bahawa Proklamasi Melayu disokong oleh orang Melayu merentasi parti politik.
“Ini bermakna orang Melayu yang juga ahli Umno, PKR dan Amanah serta juga segelintir yang ada di dalam DAP, jika berkongsi kesedaran yang timbul oleh proklamasi ini akan turut menandatanganinya,” kata Mahathir.
Proklamasi Melayu dilancarkan pada bulan Mac oleh Dr Mahathir.
Demi kelangsungan politik semata-mata
Umar berkata usaha Mahathir ini hanya bertujuan demi kelangsungan politik puak tertentu, bukannya pembangunan ekonomi yang diperlukan oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia.
Beliau menambah bahawa Proklamasi Melayu tidak berbeza dari Kongres Maruah Melayu yang berlangsung ketika Mahathir menjadi perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan.
“Jangan kita lupa, baru sekitar 4 tahun lalu Tun Mahathir mengepalai Kongres Maruah Melayu. Beliau mendakwa ianya tidak politikal, tetapi kerajaan Pakatan Harapan akhirnya tumbang beberapa bulan sejurus selepas itu.
“Skrip yang cuba meletakkan kedudukan Melayu seolah-olah sedang diancam oleh kaum yang lain ini tidak akan membantu Melayu. Ia juga tidak membantu Malaysia keseluruhannya meskipun acapkali diulang dan diulang.”
Umar menyatakan usaha Mahathir melalui kongres tersebut tidak mengubah nasib Melayu. Beliau juga tidak melihat keperluan untuk Proklamasi Melayu kerana perlembagaan persekutuan menjamin keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan agama Islam.
Beliau turut menyatakan bahawa DAP pun telah berkali-kali menzahirkan komitmen mereka terhadap perkara -perkara yang termaktub dalam perlembagaan seperti mana yang boleh dilihat di dalam Deklarasi Shah Alam.
Nasihat untuk Mahathir
Umar yang melihat Mahathir sebagai negarawan dan perdana menteri dua kali turut memberikan nasihat kepadanya.
“Sekiranya Tun M ikhlas, saya menyeru beliau agar bersama-sama mengukuhkan agenda Melayu ini melalui kerangka Malaysia Madani diterajui PM sedia ada, Anwar Ibrahim.
“Elakkan persaingan. Bantulah Malaysia Madani untuk mengangkat martabat rakyat. Bukan sekadar Melayu yang menjadi tunjangnya, tetapi kaum-kaum lain yang turut menyumbang mengangkat nama Malaysia.
“Ini waktunya kita melihat Malaysia pulih dan kembali kuat di mata dunia.
“Jika Tun M benar-benar jujur untuk membela Melayu, inilah masanya.”
BACA JUGA: Tun Mahathir mengapi-apikan sentimen perkauman melalui Proklamasi Melayu, dakwa Zunar
Â