MOTAC: Jangan guna visa pelancong, umrah tunai ibadah haji

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menasihatkan umat Islam, terutamanya bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah untuk menunaikan ibadah haji.

Menurut MOTAC dalam satu kenyataan, hari ini, perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi yang mensyaratkan ibadah haji dibuat dengan permit yang sah.

“Peringatan ini diwar-warkan bagi memastikan tiada jemaah umrah mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa (overstay) sehingga masuk ke musim haji.

“Kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH),” kata MOTAC dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, MOTAC sebagai kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan dalam bidang umrah turut mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji bermula mulai minggu ketiga bulan Jun 2023.

MOTAC turut memandang serius berhubung perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrah serta berusaha menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini selain daripada menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh kementerian ini.

“MOTAC menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Malaysia menerima kuota penuh bagi musim haji tahun ini iaitu sebanyak 31,600 orang.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia sewaktu mesyuarat khas bagi membincangkan aspek persiapan Musim Haji Tahun 1444H/2023M sempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Arab Saudi, Januari lalu.

BACA JUGA: 1,500 jemaah haji bakal dapat vaksin pneumokokal percuma