PM Anwar berjiwa besar, janji noktahkan isu bekalan air Kelantan

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri, dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air Kelantan memang ditunggu dan dirayakan oleh ramai rakyat negeri itu, kata pemimpin PKR Kelantan Naziratul Aini Muhamad Sayuty.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Kelantan berkata kerajaan di bawah pimpinan Anwar telah mengambil pendirian untuk menangani masalah berkaitan bekalan air di negeri itu tanpa mengira fahaman politik.

“Penyelesaian isu air di Kelantan adalah tepat dalam menterjemahkan jiwa besar Perdana Menteri untuk mengenepikan perbezaan politik demi rakyat.

“Dengan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah air adalah selari dengan komitmen Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini, katanya kepada Harapan Daily.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan perdana menteri di dalam majlis Aidilfitri Malaysia Madani yang diadakan di Kelantan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Cabang PKR Pasir Mas berharap agar isu air di Kelantan dapat diselesaikan segera secara bersama.

“Walaupun sudah berpuluh tahun rakyat Kelantan tidak mendapat bekalan air bersih, namun Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) telah berjanji untuk selesaikan permasalahan ini.

“Marilah kita bersama bekerjasama menyelesaikan bersama isu bekalan air bersih ini, dengan duduk semeja berbincang secara ikhlas, telus dan berintegriti agar ianya dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

PAS gagal selesai masalah air Kelantan

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan akan mencari dana dan menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan yang sehingga kini tidak diselesaikan.

Beliau berkata, masalah itu akan ditangani menerusi kaedah yang betul dengan kerjasama penuh kerajaan negeri Kelantan.

Pas ketika menjadi sebahagian dari kerajaan pusat gagal berbuat demikian malahan memberikan alasan semata-mata.

Pada 28 Julai 2022, mantan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa masalah utama yang membawa kepada isu bekalan air di Kelantan bertitik tolak daripada kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang tidak mampan.

Oleh itu menyebabkan AKSB menghadapi kesukaran untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada penduduk negeri.