Beri peluang wanita pegang jawatan tertinggi awam

Pembentukan masyarakat Malaysia Madani di bawah Kerajaan Perpaduan tidak akan mengetepikan golongan wanita dalam apa juga bentuk, kata Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH).

Aiman Athirah berkata golongan wanita perlu diberi akses sama rata termasuk diberi restu menjawat salah satu posisi tertinggi awam seperti Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara.

“Yang lelaki akan menjadi cergas di kalbu jiwa dan di minda benaknya manakala yang perempuan akan menjadi kekuatan bersama-sama anak lelaki, melengkapi ikhtiar kita menguruskan negara, seterusnya dunia.

“Maka masyarakat ini tanpa nanti-nanti lagi akan segera menjadi ‘madani’ dengan segera, to mainstream women into the development process (dengan izin).

“Usahlah dilihat wanita dalam konteks beban dwi peranan lagi, iaitu wanita harus menjadi ibu dan isteri ketika ikut bekerja,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Wanita Nasional Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata perkara itu boleh dilihat pada sosok wanita seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi ibu, isteri dan dalam masa yang sama memimpin bangsa dan negara.

“Bahkan konsisten menjadi enabler pada apa yang kita nikmati kini iaitu sebuah Kerajaan Perpaduan di mana parti-parti politik berbeda akhirnya upaya dipersaudarakan, sekali gus mengangkat Iltizam Karomah Insan! Madani Dan Dasar Keterangkuman Gender,” katanya.

Katanya setiap program Madani yang dirangka mestilah mengambil kira yang wanita bukan sebagai “objek pembangunan” tetapi sebetulnya adalah peserta aktif dalam setiap proses kemajuan.

“Kami ingin menegaskan masyarakat Malaysia Madani seperti yang telah kami rungkaikan adalah masyarakat yang tidak akan mengkesampingkan wanita dalam apa jua cara dan wajah.

“Oleh kerana Madani adalah pelan untuk menjadikan Malaysia berkemajuan secara menyeluruh, kami ingin menghujahkan bahawa setiap pengenalan program pembangunan yang akan dan sedang direka bentuk haruslah meningkatkan letak duduknya wanita dalam sedar dengan iltizam keterangkuman (gender),” ujarnya.

Aiman Athirah berkata kedudukan wanita sebagai ejen pembangunan hendaklah diterjemahkan kepada perubahan hubungan lelaki dan wanita pada tahap individu, komuniti, masyarakat, sekaligus memaknai negara bangsa.

“Ini kerana kami bukan lagi di dekad wanita itu Jeha, sang peladang dan pesawah dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Betul, kami pernah membanting tulang di ladang dan estet. Akan tetapi kami tidak lagi terperuk apatah lagi terperosok seputar di dalam “kerjaya rumahtangga”.

“Jika anda melihat perjalanan kami dalam membangunkan negara, amat jelas wanita adalah tonggak perusahaan negara. Meskipun awalnya barang kali dengan niat menghina ketika memberi gelar “minah karan”, wanita sepertinya Aminah inilah wanita dalam tahun 1970an dan 1980an yang pernah menjadikan Malaysia ini gemilang atas gelar “Harimau Asia”,” katanya.

Katanya jika wanita dilihat sebagai pelengkap perusahaan mikro, salah satu petunjuk untuk menjadikan desa menjadi bandar iaitu yang qurawi menjadi madani – tentulah terletak pada pundak wanita.

“Lihat sahaja bagaimana kami menjadikan pertanian itu ditransform menjadi perindustrian dengan merubah keledek di batas kebun menjadi kerepek dan rempeyek di rak-rak pasar raya kota.

“Dapur yang dulunya berasap untuk keluarga kini telah mengorak menjadi wanita berkerjaya sebagai home baker. Justeru itu, kami ingin menyatakan di sini, kami wanita amat memerlukan akses kepada sokongan kerajaan Madani ini! Ini kerana kekuatan perusahaan mikro desa atau luar bandar akan menentukan berjaya atau tidaknya Madani ini,” ujarnya.

Jelasnya meskipun kerajaan telah mempunyai Dasar Wanita Negara dengan harapan kesaksamaan gender menjadi matlamat dalam proses pembangunan sosial, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mendobrak sistem dengan kuasa kejantanan atau male power.

“Beberapa Reformasi Sistem (Pilihan Raya) Dan Institusi misalnya perlu diberikan tumpuan bagi mempersiapkan laluan. Kami sedar yang golongan majoriti masyarakat Malaysia masih kabur malah gerun dengan kesaksamaan gender ini,” katanya.

Katanya penyertaan wanita dalam proses pembangunan masih terbatas hanya kepada kumpulan elit wanita intelektual dan para aktivis sedangkan semua peringkat dan lapisan wanita dlam masyarakat harus dilibatkan termasuklah suri rumah, ibu tunggal dan golongan rentan.

“Untuk itu, kami ingin menyarankan Madani yang beragenda untuk mendaya upaya masyarakat dan rakyat Malaysia adalah Madani yang peka gender, bukan sahaja pada equality tetapi juga equity!

“Kami mahu giat disusun siri program kepekaan gender secara bersama-sama, demi perpaduan yang kami
cita dan cintakan. Ini supaya pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat akan menjadi pembangunan sosial Madani yang sihat dan berdaya saing tinggi,” ujarnya.