“Biar fakta berbicara, DAP tidak dominasi Kerajaan Perpaduan” – Anthony Loke

DAP menggunakan pentas Konvensyen Nasional Perpaduan hari ini bagi menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan Malaysia Madani tetap dikuasai oleh majoriti Ahli Parlimen Melayu Islam.

Setiausaha Agungnya Anthony Loke menegaskan fakta sebenarnya dengan sendiri mematahkan hujah pihak pembangkang yang menuduh kerajaan didominasi oleh DAP susulan penyertaaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jadi untuk patahkan hujah ada pihak hari ini mengatakan oleh kerana ada DAP dalam kerajaan, maka ia didominasikan oleh DAP. Biar fakta berbicara, kerajaan hari ini didukung oleh 148 Ahli Parlimen.

“Terdapat seramai 77 Ahli Parlimen Bumiputera Islam, 43 (Cina) dan India (12), maksudnya majoriti didukung oleh Melayu Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Nasional Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata politik pada hari ini bukanlah ‘zero sum game’ tetapi mesti menjalankan kerjasama dan persaingan bukanlah antara parti-parti dalam kerajaan sebaliknya Malaysia dengan dunia luar.

Terdahulu mengimbas sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, beliau memberitahu, pihaknya telah memaklumkam bahawa DAP telah memberikan mandat kepadanya untuk membentuk kerajaan.

Jelasnya mandat tersebut diberikan tanpa syarat bagi membentuk kerajaan baharu selepas tiada mana-mana parti mencapai majoriti mudah dalam PRU15.

Katanya pembentukan kerajaan perpaduan menetapi Rukun Negara ialah kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Yang jelas semua parti mendokong prinsip Rukun Negara. Jadi kita bentuk Kerajaan Perpaduan dengan hasrat kembalikan kestabilan politik dan pertahankan kemajmukan,” katanya.

Terdahulu Loke berkata kalau tidak kerajaan konvensyen tersebut, beliau tidak pernah terlintas bahawa suatu hari ini akan berucap di Dewan Merdeka.

“Saya akui gugup sedikit hari ini sebab tidak pernah berucap di pentas ini. Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah banyak pengalaman, ini kembali ke gelanggang lama,” katanya.

Jelas Loke, hari ini sangat bersejarah kerana konvensyen tersebut buat pertama kali menghimpunkan 19 parti yang mewakili semua kaum dan agama di negara ini sama ada majoriti atau minoriti.

Katanya kerajaan hari ini juga mewakili semua wilayah – Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

“Kita sama-sama mendukung Kerajaan Perpaduan kerana selepas merdeka kita ada kerajaan mewakili semua kaum dan agama, ini adalah asas pembentukan politik negara.

“Himpunan hari ini ada makna cukup besar bukan saja imbas kembali pembentukan negara tapi lebih-lebih lagi bagi saya dan rakan-rakan saya yakin ini melambangkan masa depan lebih cerah untuk Malaysia, suatu wawasan yang akan membawa negara ke arah lebih sejahtera dan cemerlang,” katanya.